Pasti semua antara kita ingin
berusaha menjadi orang yang lebih baik, sentiasa ingin melakukan
kebaikan, atau melakukan sesuatu sumbangan dalam agama. Tetapi, dalam
menuju ke arah yang dimaksudkan itu, kadang-kadang kita tersilap,
tergelincir mahupun tersasar. Seperti sedia maklum, tiada siapa manusia
yang sempurna di sini. Namun, sikap sesetengah manusia yang gemar
menghukum secara total adalah amat menggusarkan kita. Kami ingin
membicarakan beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat
kita. Semoga kita semua diberi kefahaman dan seterusnya dapat
membetulkan persepsi ini.
Ingin berubah tetapi dihukum
Tiada siapa yang tidak ingin berubah menjadi lebih baik. Tetapi apabila ada segolongan melontarkan kata "Kau tidak bertudung, pasti masuk neraka!",
apakah yang dapat kita fikirkan tentang perasaan mereka? Ungkapan
seperti ini seringkali dijaja oleh sesetengah daripada kita di mana
niatnya cukup baik dalam mengajak insan mendekati tatacara sebenar
seorang muslim, namun intipatinya jauh tersasar. Adalah tidak benar
menghukum seseorang masuk neraka sewenang-wenangnya seolah-olah kita
yang memegang kunci pintu neraka. Haruslah diketahui, setiap amalan
insan di muka bumi ini akan dihisap oleh Allah SWT, jika amal
kebaikannya melebihi keburukan, maka terlepaslah dia dari azab api
neraka, juga sebaliknya. Masih ingatkan kisah yang diceritakan oleh
Rasulullah SAW tentang masuknya syurga oleh seorang pelacur setelah dia
memberi minum kepada seekor anjing (HR Bukhari)?
Ingin belajar tetapi ditakut-takutkan
Kadang-kadang apabila kita sedang asyik melayari internet, membaca artikel-artikel keagamaan, kita disergah "Menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan!"
Ungkapan ini cukup terkenal sekali pada hari ini sehingga kita sangka
ianya adalah sabda dari Nabi SAW. Sekali dengar memang agak pelik,
sekiranya menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan,
adakah menuntut ilmu berguru ibarat dengan malaikat? Apakah jaminan
sekiranya kita menuntut ilmu dengan guru kita tidak sesat? Kita tak
nafikan betapa pentingnya berguru terutamanya membabitkan dalam menuntut
ilmu-ilmu yang asas dan kompleks. Namun, tindakan menakut-nakutkan
orang ramai dengan ungkapan ini menyebabkan mereka menjadi takut dan
malas untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baru. Zaman dahulu mungkin
sukar untuk menjumpai sumber ilmu melainkan dari guru, tetapi pada hari
ini mudah sahaja diperoleh menerusi kitab, buku, internet dan
sebagainya. Apa salahnya mereka memanfaatkan kemudahan yang ada dalam
masa yang sama menyemak kesahihan ilmu yang diperoleh mereka?
Ingin berdakwah tetapi dikondem
Sesetengah
dari kita berfikiran sempit menganggap urusan dakwah hanya dikhususkan
di masjid atau hanya dilakukan oleh para ustaz dan ulama semata-mata.
Bagi mereka, dakwah oleh orang kebanyakan di alam maya, seperti blog,
facebook, youtube dan sebagainya adalah tersasar kerana tidak ada
'lesen' atau tauliah untuk berbuat demikian. Sebahagian dari mereka lagi
menganggap kata-kata ustaz mereka adalah mutlak belaka, dan barang
siapa yang berbeza pandangan dengannya dikatakan sesat! Ini juga berlaku
apabila, sesetengah anak muda yang cukup berdakwah secara kreatif cuba
menyedarkan orang awam, mengkaji perihal fenomena yang tidak kena dengan
kehidupan kita masa kini, (kita kenal dengan hari ini sebagai 'teori
konspirasi'), mereka diherdik, diperlekehkan, dan dihina hanya kerana
dikatakan banyak mengemukakan pandangan yang silap dan membuang masa.
Ingin melakukan kebaikan tetapi diprejudis
Meneliti senario politik di negara kita, terasa amat lucu sekali melihat telatah pak menteri, para YB dan ahli politik yang lain apabila mereka saling bercakaran. Apabila pihak kerajaan menaikkan harga barang, mereka akan dimaki pihak pembangkang, tetapi
apabila
mereka menurunkan harga minyak, disindir pula macam-macam. Di sebelah
pihak pula, apabila pihak pembangkang merobohkan tapak penjaja haram,
mereka akan dikutuk pihak kerajaan, tetapi apabila mereka baik hati
memberi wang sagu hati kepada golongan miskin, dituduh pula ambil wang
haram. Amat bingung sekali melihat situasi yang kebudak-budakan ini.
Mengapakah sukar kita untuk bersangka baik akan kebaikan yang dibuat
mereka, seolah-olah mereka datang dari parti cap sampah yang tiada
langsung sumbangan buat negara?
***
Sedarilah
kita bahawa kehidupan kita sebenarnya lebih banyak menghukum berbanding
memperbetulkan mereka. Alangkah indah sekiranya segala kekurangan yang
dimiliki kita, cuba ditampung secara bersama semula, bukan dihukum
secara mutlak seolah-olah tiada peluang untuk memperbetulkan semula.
Kehidupan kita sememangnya tidak akan sempurna, maka tak perlulah
seolah-olah menganggap kita semua cukup sempurna. 10-1 adalah bersamaan dengan 9, bukan 0. Wallahualam
COPIED FROM Salafus-sholih
0 comments:
Post a Comment